Ulasan

Operasi Memikat Hati Bakal Mentua: Romcom Sederhana yang Menyentuh Hati

Operasi Memikat Hati Bakal Mentua: Romcom Sederhana yang Menyentuh Hati
Novel Operasi Memikat Hati Bakal Mentua (goodreads.com)

Novel Operasi Memikat Hati Bakal Mentua karya Aman Wan hadir dengan premis yang sederhana tetapi sangat dekat dengan kehidupan seharian.

Dari tajuknya sahaja, pembaca mungkin menjangkakan sebuah kisah romantik komedi yang ringan dan penuh gelak tawa.

Namun, di sebalik elemen romcom tersebut, novel ini sebenarnya menyimpan kisah yang lebih emosional, menyentuh tentang kehilangan, kesunyian dan hubungan antara manusia yang perlahan-lahan terbina melalui perhatian kecil dalam kehidupan harian.

Kisah ini mengikuti Hayyan, seorang penghantar parcel yang menaruh hati kepada Deena, seorang jururawat.

Demi mendekati gadis itu, Hayyan mengambil peluang untuk menjadi ‘housemate’ kepada ayah Deena, Pak Daus, seorang bekas tentera yang tegas, garang dan sukar dijangka.

Apa yang pada awalnya kelihatan seperti “misi memikat bakal mentua” bertukar menjadi perjalanan emosi yang penuh makna.

Hubungan Hayyan dan Pak Daus berkembang perlahan-lahan melalui pelbagai insiden lucu, canggung dan kadangkala menyentuh hati.

Salah satu perkara yang paling saya gemari dalam novel ini ialah unsur humornya. Lawaknya bukan jenis dipaksa atau hambar, tetapi terasa natural dan menghiburkan.

Interaksi antara Hayyan dan Jiji benar-benar mencuri perhatian kerana dialog mereka terasa hidup dan spontan. Ada banyak babak yang membuatkan saya tersenyum sendiri, malah beberapa kali ketawa kerana telatah mereka yang bersahaja.

Humor dalam novel ini tidak berlebihan, sebaliknya hadir secara santai dan membuatkan pembacaan terasa ringan.

Selain humor, novel ini juga memberi aura drama-drama petang televisyen yang pernah popular suatu ketika dahulu. Cara penulis menggambarkan kehidupan harian watak-wataknya terasa dekat dengan realiti masyarakat biasa.

Deena sebagai jururawat, Hayyan yang bekerja sebagai penghantar parcel, persahabatan Hayyan dengan Adam, serta suasana kejiranan di Vista Kita semuanya terasa sangat “manusia”.

Tiada watak yang terlalu sempurna atau kehidupan yang terlalu dramatik. Kesederhanaan inilah yang membuatkan cerita ini mudah dikaitkan dengan pengalaman hidup pembaca.

Saya juga sangat menyukai bagaimana setiap watak diberikan ruang dan latar cerita masing-masing. Novel ini tidak hanya berfokus kepada kisah cinta Hayyan dan Deena, tetapi turut memberi perhatian kepada watak sampingan seperti Pak Daus, Adam dan Jiji.

Setiap daripada mereka membawa kisah tersendiri yang mempunyai makna dan pengajaran. Pak Daus misalnya, bukan sekadar watak ayah yang garang, tetapi seorang lelaki yang menyimpan luka dan kesunyian selepas kehilangan insan tersayang.

Hayyan pula digambarkan sebagai watak yang ceria di luar, tetapi sebenarnya menyimpan kesedihan sendiri. Semua ini membuatkan watak-watak dalam novel terasa hidup dan bukan sekadar pelengkap cerita.

Dari segi gaya bahasa, Aman Wan menggunakan penulisan yang santai, mudah difahami dan sangat mengalir. Dialog-dialognya terasa natural seperti perbualan harian.

Ini membuatkan novel setebal lebih 400 halaman ini terasa cepat habis dibaca kerana jalan ceritanya lancar dan tidak membosankan. Penulis juga bijak menyelitkan emosi secara perlahan.

Pada awalnya pembaca mungkin banyak ketawa, tetapi semakin menuju penghujung cerita, emosi mula terasa lebih berat dan menyentuh hati.

Walaupun begitu, ada beberapa bahagian yang terasa sedikit tergesa-gesa terutama menjelang penamat cerita.

Hubungan antara Hayyan dan Deena rasanya dapat dikembangkan dengan lebih mendalam kerana elemen romantiknya terasa agak kurang berbanding hubungan Hayyan dan Pak Daus.

Namun, kekurangan kecil ini tidak terlalu mengganggu keseluruhan pengalaman membaca.

Secara keseluruhan, Operasi Memikat Hati Bakal Mentua ialah novel yang sangat menghiburkan tetapi dalam masa yang sama menyimpan banyak emosi dan pengajaran tentang kehidupan.

Ia sesuai dibaca oleh pembaca yang sukakan kisah slice-of-life, romcom sederhana dan cerita kekeluargaan yang dekat dengan realiti.

Novel ini membuktikan bahawa kisah yang tampak ringan juga mampu meninggalkan kesan mendalam kepada pembaca.

    Tulisan ini merupakan kiriman dari member Yoursay. Isi dan foto artikel ini sepenuhnya merupakan tanggung jawab pengirim.

    Komentar

    Rekomendasi

    Dapatkan informasi terkini dan terbaru yang dikirimkan langsung ke Inbox anda